HANYA JIHAD MAMPU UBAH NASIB PALESTIN

Tragedi Gaza terus diperkatakan. Namun banyak perkara di sebaliknya gagal difahami dengan baik oleh rakyat di negara ini.

Sejak wujudnya negara Israel, hingga kini belum ada penyelesaian adil bagi rakyat Palestin. Mengapa ini berlaku, Bagaimana hubungannya dengan HAMAS dan Apa kaitannya dengan politik serantau?

George W Bush ketika dilantik menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) untuk penggal kedua melihat senario politik di Timur Tengah yang diperintah rejim despotik tidak mungkin dapat dipertahankan untuk selama-lamanya. Lantaran itu, beliau menguar-uarkan satu gagasan yang dipanggil The New Middle East.

'Timur Tengah Baru' yang dicadangkan ini adalah satu situasi politik di mana negara-negara Arab diperintah secara demokratik, iatu kerajaan yang disokong oleh rakyat tetapi mereka yang dipilih ini berpendirian pro-AS. Washington dapat merasai, bahawa perkembangan di dunia hari ini boleh menyebabkan pemerintah autokratik yang telah begitu lama berkuasa di negara-negara Arab boleh tumbang bila-bila masa. Senario ini pernah dialami negara-negara Eropah Timur pada tahun 1990-an yang menumbangkan diktator yang sebelumnya amat digeruni.

Oleh itu, AS seolah-olah menggalakkan pendemokrasian dengan menggalakkkan pilihan raya bebas diadakan di beberapa negara Arab dengan 'showcase' yang awal ialah di Palestin. Pendekatan ini dilakukan dengan keyakinan bahawa Fatah akan diberi mandat mutlak oleh rakyat Palestin dan membantu dalam menggerakkan proses damai mengikut agenda AS yang sudah lama terbengkalai. AS dan Eropah yakin bahawa, walaupun dengan pilihan raya secara bebas rakyat Palestin pasti mengekalkan sokongan kepada Fatah sebagaimana sokongan besar yang diberikan kepada Mahmud Abbas dalam pemilihan presiden yang dilakukan sebelumnya.

Pilihan raya Palestin yang diadakan pada Januari 2006 disahkan sebagai pilihan raya yang bebas oleh Jimmy Carter, mantan presiden AS yang memantau pilihan raya tersebut. Tanpa diduga HAMAS berjaya mencapai kemenangan besar dengan menguasai 76 daripada 132 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Jika AS dan Barat menjangkakan keputusannya berakhir dengan sebegini, pilihan raya ini tidak mungkin akan diadakan.
Pencapaian di luar dugaan yang dicapai HAMAS seperti mana yang pernah berlaku di Algeria pada 1991 adalah hasil kejayaan mereka meyakinkan pengundi dan membawa mereka ke peti undi bagi membolehkan kumpulan Islamis menjadi pemenang menggantikan golongan sekularis yang selama ini diberikan mandat mutlak.

HAMAS ditubuhkan pada Disember 1987 berikutan peristiwa di khemah pelarian di Jabaliya yang menyaksikan pembunuhan kejam ke atas beberapa orang rakyat Palestin yang pulang daripada bekerja di Israel. Sebelum terlibat secara langsung sebagai gerakan yang menentang pendudukan Israel di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza HAMAS merupakan sebuah pertubuhan kebajikan yang membantu rakyat Palestin yang berdepan pelbagai kesulitan hidup dan menjalankan kegiatan amal.

Pada peringkat awal Israel seolah-olah membiarkan HAMAS berkembang dan tidak banyak mengenakan sekatan. Ada pendapat yang mengatakan bahawa pada peringkat awal ini Israel membantu HAMAS. Fakta ini tidak begitu tepat kerana Israel sekadar tidak mengharamkan dan menindas HAMAS. Israel melihat bahawa kehadiran HAMAS di tengah-tengah kehidupan rakyat Palestin boleh mengimbangi pengaruh Fatah. Lantaran pendekatan pecah dan perintah yang diamalkan menyebabkan Israel membiarkan HAMAS berkembang pada peringkat awal dengan gangguan minimum daripada pihak mereka. Namun begitu, apabila HAMAS menjadi semakin berpengaruh selepas 1987 berikutan berlakunya pembunuhan kejam di Jabaliya ini, HAMAS mula dicurigai Israel.

Kekhuatiran Israel terhadap HAMAS semakin ketara apabila gerakan rakyat yang dipimpin HAMAS ini berjaya mengumpulkan ribuan rakyat Palestin bagi memprotes pembunuhan di Jabliya. Peristiwa bulan Disember 1987 ini dianggap permulaan kepada intifadah pertama dan meletus di Semenanjung Gaza. Intifadah kedua yang berlaku pada tahun 2001 meletus di Tebing Barat berikutan lawatan yang penuh provokasi oleh Ariel Sharon ke Baitulmaqdis. Kebangkitan intifadah adalah kebangkitan rakyat Palestin yang dizahirkan secara simbolik dengan menggunakan batu bagi menentang sebuah rejim yang mempunyai angkatan tentera yang dikatakan sebagai tercanggih dan terkuat di dunia.

Bagaimanapun, kebangkitan yang bersenjatakan batu ini berubah sifatnya apabila berlaku peristiwa pembunuhan ke atas jemaah yang sedang solat subuh di Masjid Ibrahim, Hebron pada 1994. Pembunuhan kejam ini merubah corak penentangan rakyat Palestin yang menggunakan batu kepada perjuangan yang melibatkan syuhada pengebom berani mati.

Fatwa yang dikeluarkan ulama seperti Syeikh Yusuf al-Qardawi (ulama tersohor), Syeikh Ahmad Yassin (pemimpin HAMAS), Ahmad Tayyib (Mufti Mesir) dan Akrama Sabri (Mufti Bait al-Muqaddis) dan lain-lain menyemarakkan lagi semangat pejuang Palestin menentang pendudukan haram Israel dengan dengan berkesan lagi. Fatwa yang meletakkan bahawa mereka yang mati kerana misi ini sebagai syahid kerana menuntut tanah air yang dirampas menjadi inspirasi kepada perjuangan rakyat Palestin dalam fasa baru perjuangan mereka ini.

Pada hari ini HAMAS ternyata merupakan kekuatan baru di kalangan rakyat Palestin yang tidak boleh disangkal lagi kerana kewujudannya merupakan aspirasi dan manifestasi perjuangan rakyat Palestin yang menuntut hak mereka yang sudah berdekad-dekad dilupakan. Walaupun AS, Barat dan Isreal cuba meminggirkan HAMAS, namun apa jua bentuk perundingan dalam usaha menyelesaikan konflik Israel-Palestin tidak akan menjadi bermakna tanpa penglibatan HAMAS. Peristiwa yang berlaku di Gaza baru-baru ini mengukuhkan lagi peranan HAMAS apabila sudah ada suara-suara dari AS dan Kesatuan Eropah yang menyeru supaya HAMAS dibawa berunding bagi mencari penyelesaian bermakna bagi dalam konflik Israell-Palestin yang sudah berlanjutan ini.

Konflik di Palestin ini latar belakangnya ialah pendudukan secara haram oleh Zionis Israel ke atas bumi yang sudah didiami rakyat Palestin sejak beribu tahun. Bagaimanapun pendedahan ini tidak diketengahkan seolah-olah rakyat Palestin yang dipersalahkan. Kenapa keadaan ini terjadi?

Dalam peristiwa pencerobohan selama 22 hari Israel ke atas Gaza terdapat di kalangan masyarakat kita yang menyalahkan HAMAS mengapa berlakunya peperangan dan lantas menuduh HAMAS yang bersalah. Masyarakat tidak difahamkan dengan jelas apa sebenarnya yang berlaku di Palestin. Media kita, terutamanya media elekronik ternyata gagal memberikan penjelasan yang meyakinkan bahawa yang menjadi mangsa ialah rakyat Palestin, sedangkan orang Yahudi adalah penjenayah yang merampas tanah milik rakyat Palestin. Media negara kita kadang-kadang tanpa disedari menyiarkan propaganda Israel daripada memperkatakan isu sebenar bagaimana sejak 60 tahun yang lalu rakyat Palestin ditindas.

Isu tentang konflik ini sewajarnya dilihat sejak 1948 apabila negara haram Israel dibentuk. Sejak itulah penganiyaan demi penganiyaan ke atas rakyat Palestin berlaku secara berterusan tanpa henti hingga kini. Kegagalan memahami isu sebenar menyebabkan masyarakat menyalahkan HAMAS apabila dikatakan telah melancarkan roket sehingga memaksa Israel bertindak balas bagi "mempertahanan diri".

Mungkin mereka tidak boleh disalahkan seratus peratus kerana mendapat maklumat dari sumber media yang gagal memberikan perspektif yang lebih objektif. Media kadang-kadang cenderung menyiarkan apa sahaja yang diperoleh dari agensi berita asing tanpa dibuat penganalisaan dan penelitian yang adil kepada rakyat Palestin yang tertindas.
Selain itu, terdapat juga di kalangan masyarakat kita yang menyokong perjuangan rakyat Palestin dengan sesungguh hati, tetapi tidak memahami apakah isu sebenarnya.

Bagi mereka, asal orang Yahudi sahaja adalah musuh, walaupun mereka sendiri dan seluruh keturunan tidak pernah bersua dengan orang Yahudi. Tanggapan mereka ini tidak boleh dipersalahkan kerana orang Melayu mengenali orang Yahudi melalu al-Quran.

Walaupun begitu, kita harus sedar bahawa terdapat nabi dan rasul daripada kalangan orang Yahudi. Orang Yahudi yang ditentang ialah daripada kalangan Zionis yang cauvanis. Kita perlu sedar bahawa terdapat orang Yahudi seperti Noam Chomsky yang terkenal kerana amat kritikal terhadap Zionis Israel. Malahan terdapat ramai orang Yahudi yang menentang kezaliman rejim Zionis Israel.

Sebagai contoh apabila berlakunya pembunuhan ke atas jemaah subuh di Masjid Ibrahim saya melihat sendiri bagaimana orang Yahudi ortodoks di Tottenham di London menaikkan kain pemidang besar di sinogog (rumah ibadat orang Yahudi) mereka mengutuk tindakan ganas ini. Malahan terdapat kelompok orang Yahudi, walaupun merupakan kumpulan minoriti yang menjauhkan diri mereka dengan rejim Zionis Israel yang dianggap zalim dan tidak berperikemanusian.

Oleh yang demikian, sebagai umat Islam kita perlu jelas bahawa kita membenci sesuatu kaum bukan kerana kaumnya, tetapi kerana tindak tanduknya yang tidak berperikemanusian. Dalam konteks ini, rejim Zionis Israel ditentang kerana kezalimannya bukan kerana Yahudinya. Di Israel pada hari ini terdapat gerakan "Peace Now", yang berjuang supaya rakyat Palestin diberikan hak mereka dan orang Yahudi belajar menghormati hak orang lain. Malangnya, kumpulan ini masih merupakan kumpulan minoriti, walaupun mereka berjuang tanpa memperdulikan tekanan daripada bangsa mereka sendiri.

Hal yang sama berlaku kepada orang Barat kerana terdapat mereka yang simpatinya kepada perjuangan rakyat Palestin amat luar biasa. Lihat sahaja kes yang pernah menimpa Rachel Corrie seorang mahasiswi kulit putih yang mengambil cuti daripada menghadiri kuliah semata-mata ingin membela nasib rakyat Palestin yang ditindas Israel.

Dalam satu peristiwa Rachel bersama-sama dengan kumpulan menyokong rakyat Palestin dari Barat cuba menyekat jentolak Israel daripada merobohkan rumah rakyat Palestin yang tidak berdosa. Tindakan mereka mengundang petaka apabila Rachel digilis jentolak Israel dan mati dalam keadaan yang amat menyayatkan hati. Peristiwa ini merupakan antara puluhan peristiwa yang memperlihatkan keberanian mereka yang tidak ada kaitan agama atau bangsa dengan Palestin, tetapi sanggup mengorbankan nyawa semata-mata bagi menuntut supaya rakyat Palestin diberikan pembelaan.

Dalam konteks ini pendedahan yang betul kepada konflik ini perlu diberikan supaya masyarakat dapat memahami peristiwa yang berlaku ini secara rasional, bukan terus meletakkan kesalahan kepada rakyat Palestin akibat terpengaruh dengan propaganda media asing. Media kita juga perlu menyiarkan kritikan orang Barat sendiri terhadap rejim kejam Israel, seperti yang sering diluahkan secara berani oleh seorang ahli parlimen Britain dari Scotland iaitu George Galloway.

Tragedi Gaza adalah tragedi kemanusiaan. Bagaimanakah media boleh memainkan peranan bagi menjelaskan perkara ini?


Isu Palestin bukan isu yang berkaitan umat Islam sahaja, walaupun majoriti yang menjadi mangsa adalah orang Palestin beragama Islam. Isu ini sebenarnya lebih besar daripada itu kerana berkaitan dengan soal kemanusiaan yang sepatutnya menjadi keprihatinan semua. Atas keprihatinan inilah kita bertemu dengan orang bukan Islam yang sanggup memberikan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin dan mengutuk tindakan ganas rejim Zionis.

Ini temasuklah tindakan berani Evo Morales, Presiden Bolivia yang sanggup memutuskan hubungan diplomatik negara tersebut dengan Israel. Demikian juga kutukan keras Hugo Chaves, Presiden Venuzuela terhadap Tel Aviv kerana melihat isu ini sebagai sebagai isu kemanusiaan dan melabelkan rejim Zionis sebagai ganas dan tidak bertamadun. Malangnya, pemimpin Arab gagal menunjukkan contoh yang baik dalam menyatakan sikap terhadap isu Palestin ini kerana mereka lebih senang mendiamkan diri atau bersekongkol dengan Barat.

Apa yang dapat kita perhatikan sekarang, media kita gagal dalam menyampaikan maklumat yang berkesan tentang penganiyaan Israel terhadap rakyat Palestin. Sebagai contoh, hingga kini belum lagi kita dapat melihat satu program dokumentasi oleh mana-mana media elekronik yang terdapat di negara kita yang menjelaskan tentang isu pendudukan haram Yahudi secara menyeluruh dan berkesan.

Kenapa ini berlaku?

Mungkin mereka yang terlibat dengan dunia media ini sendiri kurang jelas tentang perkara ini atau merasakannya tidak penting. Hingga kini peristiwa pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin seperti di Deir Yassin, Shabra dan Shatilla, Jenin dan lain-lain masih belum dapat kita lihat didedahkan media elektronik bagi memberikan kefahaman bagaimana ganasnya rejim Zionis Israel.

Penahanan lebih 11,000 rakyat Palestin di penjara termasuklah kanak-kanak dan wanita juga tidak didedahkan media kita. Sebaliknya, media negara kita kadang-kadang turut terikut-ikut dengan menyiarkan berita tentang HAMAS melancarkan roket, dan Israel bertindak bagi memperahankan diri, tetapi isu sebenar mengapa HAMAS melancarkan rolet tidak dinyatakan dengan jelas.

Selain itu simpati yang ditunjukkan media kita terhadap penderitaan rakyat Palestin juga sifatnya bermusim. Apabila berlaku peristiwa Jenin pada 2003, ramai yang ditonjolkan sebagai pakar dan ramai pula yang menjadi hero kerana berjaya menampilkan diri sebagai pejuang hak rakyat Palestin. Selepas ini senyap dan hero-hero ini muncul kembali apabila tragedi Gaza berlaku.

Selain itu, bagi menimbulkan kesedaran tentang penderitaan rakyat Palestin ditampilkan program yang bersifat pesta-pestaan seperti membuat pertunjukan amal, konsert, lelong pakaian selebriti, membaca puisi dan lain-lain. Usaha ini tidak salah dan ada juga baiknya kerana memperlihatkan keprihatinan yang tinggi oleh rakyat Malaysia terhadap penderitaan rakyat Palestin. Namun begitu, usaha ini kalau sekadar kegiatan bermusim-musiman untuk bersama-sama dalam arus populariti, sudah pasti tidak akan nampak banyak kesan yang boleh ditinggalkan kepada konflik yang sudah berlanjutan lebih 60 tahun.

Kita lihat Israel menyerang Palestin bertubi-tubi sehingga ribuan orang awam terbunuh dan tercedera. Jika benar Israel hendak menghapuskan HAMASs, mengapa mereka tidak mahu menentang mereka secara berhadapan?


Orang Yahudi di Israel, walaupun digambarkan mempunyai kekuatan tentera yang hebat, tetapi hakikat sebenarnya adalah bangsa yang pengecut. Bagi rakyat Palestin pula penindasan yang berterusan menjadikan mereka tidak gentar, walaupun berdepan angkatan tentera yang diuar-uarkan sebagai yang terkuat di dunia pada hari ini. Walaupun dengan keterbatasan dan sekatan yang dilakukan, namun bagi rakyat Palestin menyerah tidak sekali-kali.

Sebaliknya, orang Yahudi Israel yang digambarkan dengan kehebatannya sebenarnya menyembunyikan kebaculan mereka. Lihat sahaja di Gaza, Israel yang mengisytiharkan perang dan Israel mengumumkan gencatan senjata. Sebaik-baik sahaja gencatan senjata diumumkan tentera simpanan yang dihantar ke ke medan perang di Gaza segera diarahkan pulang.

Sebenarnya, tentera simpanan ini tidak begitu berminat untuk berperang. Dari riak wajah mereka terpancar kegembiraan sebaik-baik sahaja dibenarkan meninggalkan Gaza. Demikian juga yang berlaku di Lebanon pada 2006 apabila setelah 34 hari berperang, Israel mengumumkan pengunduran tenteranya dari Lebanon. Gambar-gambar yang disiarkan memperlihatkan kegembiraan tentera Israel yang berebut-rebut untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Generasi muda Israel sudah hilang minat untuk berperang kerana tidak pasti apa matlamat yang cuba dicapai.

Sejarah Israel berperang dengan negara jirannya menunjukkan bahawa peperangannya hanya untuk tempoh yang singkat. Perang Suez 1956 cuma mengambil masa 9 hari, Perang Enam Hari 1967 cuma mengambil masa 6 hari, Perang Ramadan 1973 cuma mengambil masa 20 hari. Bagi negara Israel matlamat perang ialah mencapai kemenangan mutlak dalam tempoh yang singkat. Peperangan yang berpanjang sering tidak memihak kepadanya.
Lantaran itu, selepas 22 hari menggempur Gaza ternyata Israel gagal mencapai matlamatnya yang digembar-gemburkan. Pada hari Israel mengumumkan gencatan senjata pada hari tersebut HAMAS pelancarkan 29 roket ke Israel. Begitu juga dengan terowong, apabila rakyat Palestin meneruskan aktiviti melaluinya sebaik-baik sahaja perang berhenti. Jika Israel mendakwa perang dilancarkan bagi mencapai dua matlamat, iaitu memberhentikan pelancaran roket dan penyeludupan melalui terowong, ternyata matlamat ini gagal dicapai dalam peperangan yang berlanjutan selama 22 hari ini.

Ramai orang melihat tindakan HAMAS melancarkan roket ke Israel sebagai usaha sia-sia kerana tidak ramai orang Yahudi yang mati atau tercedera. Roket yang dilancarkan juga banyak tersasar dan kalau mengenai sasarannya tidak mengakibatkan kematian dipihak Yahudi. Sebenarnya, pelancaran rolet HAMAS dan kumpulan pejuang lain telah meninggalkan kesan psikologi yang amat mendalam kepada penduduk Israel di kawasan sempadan.

Ini disebabkan pelancaran roket ini menyebabkan penduduk bandar-bandar di Ashkelon, Sderot, Bersheba dan sebagainya terpaksa menghabiskan masa dalam kubu bawah tanah. Apa yang berlaku ialah apabila roket dilancarkan ke bumi Isreal radar yang canggih akan mengesan dari mana arah roket itu dilancar akan mendarat. Katakan roket ini disasarkan ke Ashkelon dan sebaik-baik sahaja dilacarkan siren di bandar tersebut akan berbunyi kerana masa selama 20-30 saat diperlukan sebelum roket ini sampai ke sasarannya.

Peraturan keselamatan di Israel memerlukan apabila siren berbunyi semua penghuni bandar tersebut perlu meninggalkan dengan serta-merta apa jua aktiviti dan segera berada di kubu keselamatan bawah tanah bagi mengelakkan daripada berlakunya kecelakaan akibat roket ini. Cuba bayangkan kesengsaraan yang terpaksa dihadapi penduduk Yahudi jika berpuluh roket dilancarkan dalam satu hari pada waktu berbeza.

Apakah pula kesan keselamatan, psikologi dan kegiatan ekonomi jika pelancaran roket ini berlanjutan selama berbulan-bulan dan malahan bertahun-tahun. Pada hari ini bandar-bandar di sempadan yang menjadi sasaran roket HAMAS ini menjadi lengang kerana penduduknya tidak tahan lagi hidup dalam kubu sepanjang hari dan sepanjang bulan.

Memang benar roket yang dilancarkan HAMAS ini tidak banyak yang kena pada sasarannya kerana banyak yang tersasar kerana jatuh atas jalan, di tanah lapang dan sebagainya. Tetapi pelancaran roket yang terus meningkat, umpamnya pada bulan Ogos 2007 sahaja berjumlah 250 amat menyiksakan orang Yahudi. Pelancaran roket yang secara purata 10 sehari menyebabkan penduduk di bandar sempadan terpaksa berada dalam kubu bawah tanah sepanjang masa.

Bagaimanapun, Israel berjaya menggunakan propagandanya apabila menunjukkan kepada dunia bahawa roket HAMAS gagal mengenai sasarannya. Tetapi di sebalik gambaran tidak gentar dengan roket HAMAS tersembunyi kekhuatiran yang amat sangat apabila HAMAS berjaya meningkatkan keupayaan jangkauan sasaran roketnya.

Pada peringkat awal roket HAMAS hanya berjaya sampai ke sasaran sejauh satu hingga tiga kilometer. Tetapi kini jangkauan sasarannya boleh mencapai sehingga sejauh 50 kilometer. Dengan jangkauan ini bermakna lebih banyak bandar-bandar Israel yang boleh menjadi sasaran, termasuklah loji nuklearnya yang terletak di Dimona. Oleh itu, propaganda yang mengatakan roket HAMAS tidak berkesan perlu dilihat dari perspektif yang lebih mendalam merangkumi kesan keselamatan dan psikologi yang terpaksa dihadapi orang Yahudi. Sejak HAMAS dan kumpulan pejuang yang lain melancarkan roket ke Israel pada tahun 2001 sudah lebih 7,500.

Siapa yang menang dalam peperangan ini, HAMAS atau Israel?

Sebenarnya bagi rakyat Palestin mereka tidak mengharapkan akan mencapai kemenangan dalam perjuangan menentang angkatan tentera yang jauh lebih lengkap dan disokong AS. Namun begitu, peperangan ini menunjukkan kesungguhan dan pengorbanan rakyat Palestin yang tidak mahu lagi diperhambakan setelah 41 tahun dinafikan hak mereka untuk hidup secara bebas. Walaupun Israel mendabik dada mengatakan mereka sudah menang di Gaza, namun berlaku peristiwa yang menyebabkan para strategis mereka terpaksa berfikir panjang untuk meneruskan peperangan selepas 22 hari. Pada hari pertama Israel mengumumkan gempurannya ke atas Gaza tiga orang askar Israel mati kerana ditembak orang Israel sendiri (friendly fire).

Bagaimana ini boleh berlaku sedangkan Israel mempunyai sistem komunikasi yang canggih. Tentera Israel ternyata sukar menentukan siapa musuh dan siapa lawan di Gaza jika mereka melancarkan serangan terbuka sebagaimana yang menimpa ke atas tiga orang tentera mereka. Lantaran itu, sehingga gencatan senjata diumumkan Israel hanya berani menembak dari udara dengan kapal terbang, menembak dari kereta kebal dan melancarkan serangan dari kapal di laut.

Sampai ke akhir peperangan mereka tidak berani bertempur secara terbuka kerana mengetahui pejuang HAMAS sudah bersedia untuk itu. Bagi pejuang HAMAS mati bukanlah merupakan suatu yang ditakuti, kerana sejak berdekad-dekad mereka sudah melihat kematian akibat kekejaman Israel Bezanya kali ini mereka berjuang untuk mati syahid.
Sepanjang peperangan di Gaza, pejuang HAMAS tidak ramai yang terkorban. Jumlah yang paling ramai terkorban ialah pada hari pertama peperangan apabila 140 polis HAMAS yang tamat latihan terbunuh dibom jet Israel. Turut terbunuh Tawfiq Jaber, Ketua Polis Gaza. HAMAS dikatakan mempunyai seramai 25,000 pejuang yang terlatih, tetapi hakikat sebenarnya 1.5 juta penduduk Gaza, itu adalah penyokong HAMAS. Bagi mereka yang terselamat daripada dibunuh dengan kejam perjuangan akan diteruskan.

Di jiwa kanak-kanak Palestin tersimpan rasa dendam yang membuakkan lagi semangat perjuangan bagi mengikuti pemimpin mereka seperti Syeikh Ahmad Yassin, Abdul Aziz Rantisi, Salah Shahadeh, Nizar Rayyan, Said Siyam dan lain-lain yang terlebih dahulu syahid. Bagi wanita Palestin sumbangan mereka ialah melahirkan lebih banyak syuhada dan lantaran itulah bagi wanita Palestin melahirkan anak dianggap sebagai kesinambungan kepada perjuangan.

Kanapa Fatah dan HAMAS tidak bersatu?


Banyak pihak menjadikan alasan mengapa isu Palestin tidak dapat diselesaikan kerana rakyat Palestin terbahagi kepada dua, iaitu pengikut HAMAS dan Fatah. Saya melihat ini sebagai alasan yang sengaja diadakan bagi meletakkan bahawa keganasan yang dilakukan ke atas rakyatPalestin adalah akibat daripada kesalahan mereka sendiri. Sebelum 2006 HAMAS tidak terlibat sebagai pemerintah Palestin kerana Palestin ditadbir secara mutlak oleh Fatah, tetapi isu Palestin tetap dilupakan.

Sama juga isunya dengan pelancaran roket oleh HAMAS dari Gaza yang sengaja dijadikan alasan bagi menyalahkan HAMAS. Bagaimana dengan Tebing Barat yang tidak ada roket yang dilancarkan dan pentadbirannya sepenuhnya berada di bawah Fatah. Walaupun demikian di Tebing Barat sekatan masih berterusan, pembinaan penempatan haram Yahudi dipertingkatkan dan pembinaan tembok keselamatan diperluaskan.

Mengapa Israel dan Barat tidak membantu Mahmud Abbas memperbaiki nasib rakyat Palestin di sini?

Jawapannya semuanya adalah alasan kerana hasrat Israel ialah untuk terus menjajah rakyat Palestin. Kebetulan adanya isu persaingan HAMAS-Fatah, isu ini dijadikan alasan, lebih-lebih lagi dalam usaha meletakkan kesalahan kepada HAMAS.

HAMAS menyedari tentang keperluan wujudnya perpaduan di kalangan rakyat Palestin. Lantaran itulah sebaik-baik sahaja memenangi pilihan raya pada tahun 2006 HAMAS menunjukkan kesediaan berkongsi kuasa dengan Fatah yang kalah. Ini termasuklah dengan memberikan separuh jawatan menteri seperti Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Luar dan lain-lain kepada Fatah dang anggota bebas.

Malangnya, persetujuan mewujudkan kerajaan perpaduan yang diusahakan oleh Raja Abdullah, Raja Arab Saudi dan ditandatangani di depan Kaabah tidak diiktiraf Israel, Kesatuan Eropah dan ASl kerana tidak ingin melihat HAMAS berjaya. Lebih malang lagi Fatah pula sanggup bersekongkol dengan agen Israel dan penjenayah di Gaza bagi melemahkan kerajaan yang diketuai oleh HAMAS. Akhirnya HAMAS tidak mempunyai pilihan selain daripada mengusir Fatah keluar dari Gaza sebelum mereka sendiri ditindas yang sudah pasti kalau berlaku tanpa belas kasihan.

Masalah yang berlaku di Palestin tidak banyak bezanya yang berlaku di sesetengah negara dunia ketiga apabila pihak yang kalah gagal menghormati pihak yang menang dan cuba mengekalkan kuasa, walaupun bersekongkol dengan musuh. Inilah yang berlaku di Palestin apabila Fatah enggan menerima hakikat bahawa mereka ditolak rakyat.
Dengan sebab itulah apabila berlakunya gempuran ke atas Gaza kenyataan yang dikeluarkan Mahmud Abbas ialah menyalahkan HAMAS. Fatah mengharapkan Israel memusnahkan HAMAS, tetapi tidak mahu dilihat sebagai menjadi proksi Israel. Dengan senario yang ada tidak mungkin HAMAS dan Fatah dapat membenamkan perbezaan sesama mereka kerana prasyarat kepada kerjasama di antara keduanya ialah menghormati pilihan rakyat dan menjauhkan diri daripada menjadi alat Israel dan rejim diktator Arab.

Jika Amerika menyokong dan berdiri di belakang Israel, siapa pula di belakang HAMAS?
Agak malang, perjuangan HAMAS yang suci bagi mendapatkan hak mereka yang dirampas tidak mendapat sokongan yang sewajarnya. Negara yang nampak jelas menyokong HAMAS ialah Turki. Sebaik-baik sahaja HAMAS menang dalam pilihan raya Palestin pada tahun 2006, Menteri Luar Turki pada waktu itu melalui penasihat luarnya iaitu Dr Ahmed Dautovlu telah mengundang pemimpin HAMAS ke Ankara.

Walaupun pertemuan dengan pemimpin tertinggi AKP terpaksa dibatalkan kerana bantahan Fatah dan sekutu-sekutunya, namun inisiatif yang diambil ini sekurang-kurangnya menunjukkan penghormatan Turki kepada pilihan rakyat Palestin yang memilih HAMAS dalam pilihan raya. Tindakan Erdogan meninggal Forum di Davos kerana memprotes tidakan pengerusi forum yang terang-terang menyebelahi Simon Peres menunjukkan bahawa Turki kurang senang dengan tindak tanduk Israel ke atas rakyat Palestin, walaupun negara tersebut mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Selain Turki tidak ada negara lain yang secara berani menunjukkan sokongan kepada HAMAS. Iran pula walaupun berpendirian anti-Israel, tetapi dalam isu HAMAS lebih bersifat retorik dan cenderung membantu sekutunya Jihad Islam. Walau rejim Arab tidak menyokong HAMAS, namun ramai individu Arab yang membantu HAMAS. HAMAS juga dikatakan mendapat bantuan sukarelawan Arab yang pernah berperang di Afghanistan di Chechnya. Ternyata HAMAS bukan sahaja berperang dengan Israel tetapi dikhianati jiran Arabnya, Mesir. Mesir bersekongkol dengan Israel menyekat pembinaan terowong bawah tanah dan sengaja menyulitkan bantuan kemanusiaan.

Negara-negara Arab dilihat agak sukar untuk bersatu dalam menyelesaikan konflik di Gaza. Apa sebenarnya yang mengekang mereka menyelesaikan masalah ini?

Kita kena jelas negara-negara Arab, walaupun bangsanya Arab, bahasanya Arab dan agamanya Islam, tetapi dari segi politik dan perjalanan sejarah amat berbeza. Hampir semua pemimpin negara Arab tidak dipilih secara demokratik. Mereka sama ada diperintah keluarga seperti al-Saud di Arab Saudi, Bani Hashim di Jordan, al-Maktoum di Oman dan sebagainya atau diperintah serta disokong rejim tentera seperti di Mesir, Libya, Syria dan lain-lain. Rejim monarki ini semuanya adalah pro-Barat dan pro-AS.

Mesir pula menerima bantuan AS dan amat pro kepada kuasa besar dunia ini. Libya yang dahulunya amat disanjungi kerana menyokong gerakan rakyat menentang keganasan, tetapi kini Libya sudah hilang taring dan menjadi antara negara konco AS yang taat seperti negara Arab yang lain. Bagi negara Arab dasar yang mereka pegang adalah "negara kami dahulu". Kalau Jordan, kepentingan Jordan mengatasi segala-galanya, begitulah juga dengan negara Arab yang lain. Bagi mereka isu Palestin adalah untuk rakyat Palestin sendiri menyelesaikannya dan mereka tidak bersedia untuk bersusah-payah kerana memperjuangkan nasib Palestin.

Ketika berlaku peristiwa Jenin 2003 apabila terdapat saranan supaya negara Arab menggunakan minyak sebagai senjata memaksa Israel dan Barat bersikap lebih adil kepada rakyat Palestin, negara pengeluar minyak Arab hanya memandang sepi kepada saranan ini. Sebab itulah ketika berlakunya gempuran ke atas Gaza harga minyak tidak mengalami sebarang kejutan kerana kemungkinan bahan bahan bakar tersebut dijadikan senjata oleh negara Arab hampir tidak mungkin berlaku. Mesir yang pernah empat kali berperang dengan Israel menunjukkan sikap bahawa mereka sudah serik untuk berperang lagi dan tidak lagi sanggup untuk mengangkat senjata.

Lantaran itulah apabila Mesir disarankan supaya berada di barisan hadapan menentang kezaliman Israel, jawapan Mesir ialah negara tersebut hanya akan berbuat demikian jika ada pihak yang sanggup memberikannya sebanyak USD100 billion. Maksudnya ialah jangan harapkan negara tersebut untuk bersusah-payah kerana rakyat Palestin kerana yang lalu sudah itu adalah memadai sebagai pengorbanan Mesir dalam isu Palestin.

Adakah genjatan senjata yang diumumkan Israel ini akan berkekalan dan HAMAS bersedia untuk meletakkan senjata Gaza mengalami kemusnahan?


Jawapannya sudah tentu tidak. Selagi rakyat Palestin terus dikepung dan hak mereka untuk hidup dalam sebuah negara yang merdeka tidak dihormati, selagi itu tidak akan ada perdamaian antara Palestin dengan Israel. Bagi rakyat Palestin mereka sudah enam dekad menunggu, kalau mereka tidak bersedia untuk berkorban bermakna untuk dekad-dekad akan datang mereka akan terus diperhambakan dan darah mereka tidak mempunyai sebarang nilai.

Bagi rakyat Palestin selama ini yang mereka kenal ialah penindasan, kesengsaraan, penghinaan dan kematian. Kalau sudah berdekad-dekad menunggu, maknanya hanya perjuangan yang sanggup menumpahkan darah sahaja yang mampu merubah nasib mereka.
Mungkin untuk satu ketika ini HAMAS terpaksa mengumpulkan kembali kekuatannya setelah mengalami kemusnahan akibat tindakan ganas Israel. Ternyata walaupun mengalami kemusnahan dan penindasan yang kejam, namun bagi mereka perjuangan perlu diteruskan. Bagi mereka tidak banyak pilihan yang ada, iaitu mati syahid atau terus dihina. Dengan semangat juang yang ada bagi rakyat Palestin, terutamanya di Gaza, mereka tidak ragu-ragu memilih yang pertama dan inilah sebenarnya landasan perjuangan mereka.

2 Comments:

  1. rantong said...
    Sekadar ingat mengingatkan. Sambil berblog, jangan lupa selalu berdoa untuk saudara kita di Palestin. Doa Qunut Nazilah

    “Ya Allah, sesungguhnya kami bermohon pertolongan Mu, kami meminta ampun kepada Mu, kami memohon petunjuk dari Mu, kami beriman kepada Mu, kami berserah kepada Mu dan kami memuji Mu dengan segala kebaikan, kami mensyukuri dan tidak mengkufuri Mu, kami melepaskan diri daripada sesiapa yang durhaka kepada Mu.

    Ya Allah, Engkau yang kami sembah dan kepada Engkau kami bersalat dan sujud, dan kepada Engkau jualah kami datang bergegas, kami mengharap rahmat Mu dan kami takut akan azab Mu kerana azab Mu yang sebenar akan menyusul mereka yang kufur Ya Allah, Muliakanlah Islam dan masyarakat Islam. Hentikanlah segala macam kezaliman dan permusuham, Bantulah saudara-saudara kami di mana sahaja mereka berada. Angkatlah dari mereka kesusahan, bala, peperangan dan permusuhan.

    Ya Allah, selamatkanlah kami dari segala keburukan dan janganlah Engkau jadikan kami tempat turunnya bencana, hindarkanlah kami dari segala bala kerana tidak sesiapa yang dapat menghindarkannya melainkan Engkau, ya Allah.”
    Sumber: JAKIM
    View Profile: Rantong™
    lailafillah said...
    salam..teruskan jihad..tulisan yg mantap..

Post a Comment



Related Posts with Thumbnails