PERUTUSAN MB PERAK, YAB DATO’ SERI IR. MOHAMAD NIZAR JAMALUDDIN

BismilahirRahmanirRahim.

Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT atas kesihatan tubuh badan dan kesabaran yang dianugerahkanNya kepada saya dan seluruh rakyat negeri Perak Darul Ridzuan.

Saya mengambil kesempatan ini untuk menerangkan beberapa perkara berkaitan perkembangan krisis di negeri Perak terutamanya selepas upacara angkat sumpah Menteri Besar baru negeri ini yang berlangsung di Istana Iskandariah petang tadi.
Dengan penuh rasa tanggungjawab, sukacita saya menyatakan bahawa perlantikan Menteri Besar baru itu sesungguhnya adalah tidak mengikut Undang-Undang Perlembagaan Negeri sebagaimana sepatutnya.

Apabila saya tidak meletak jawatan seperti yang dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, sebenarnya saya telah pun meneliti semua undang-undang dan peraturan yang berkaitan serta telah mendapatkan pandangan dan nasihat daripada ahli dan pakar undang-undang.

Permohonan saya kepada DYMM Sultan untuk mendapatkan perkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri adalah menepati dan mengikut peruntukan Undang-Undang Perlembagaan Negeri secara jelas dan pasti. Perlembagaan memperuntukkan dengan jelas bahawa pembubaran DUN sepatutnya telah pun berlaku setelah permohonan perkenan saya kemukakan kepada DYMM Tuanku Sultan.

Saya juga yakin bahawa pembubaran DUN adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan kemelut politik negeri Perak. Biarlah rakyat membuat keputusan. Saya percaya bahawa rakyat berhak membuat keputusan berkenaan parti manakah yang rakyat mahu berikan mandat sebagai kerajaan. Keputusan menyerahkan penentuan itu kepada rakyat adalah bertepatan dengan prinsip demokrasi dan sistem Raja berperlembagaan yang dijunjung bersama.

UMNO telah mencemarkan Institusi Raja melalui konspirasi yang sangat kotor semata-mata kerana dendam kesumat dan nafsu melampau untuk memerintah. Mereka sanggup mengheret Institusi Raja kepada kecelaruan yang boleh menjejaskan penghormatan dan sanjungan rakyat terhadap istana.

Tiga Kaedah ‘Lucut Jawatan’ Menteri Besar

Berhubung kecelaruan isu ‘letak jawatan’ atau ‘lucut jawatan’ saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa ‘lucut jawatan’ saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :

Pertama – pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Kedua – undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.

Ketiga – saya meletak jawatan secara sukarela.

Tetapi apa yang terjadi sekarang, tiada mana-mana satu pun di antara 3 kaedah itu berlaku. Saya tidak meletak jawatan. Pembubaran DUN tidak berlaku. Belum lagi berlangsung sidang khas atau apa-apa sidang membincangkan usul undi tidak percaya terhadap saya. Maka bagaimana boleh dikatakan saya bukan lagi Menteri Besar Perak?

Apabila saya masih lagi Menteri Besar Perak yang sah mengikut undang-undang, maka adalah ganjil apabila dilantik seorang Menteri Besar yang baru. Bukan saja ganjil, tapi salah. Perlantikan Menteri Besar hanya boleh atau perlu dibuat apabila berlaku kekosongan jawatan itu. Sehingga saat ini saya masih MB mengikut perlembagaan. Belum berlaku kekosongan. Saya MB yang sah manakala Dato’ Dr. Zambry adalah MB tidak sah atau MB haram.

Fitnah Media Kawalan UMNO – Saya Nak Saman Sultan, Saya Arahkan Rakyat Memberontak dan Saya Menjerit Di Pejabat Hari ini timbul isu bahawa saya akan saman DYMM Tuanku Sultan. TV1 dan TV2 serta semua saluran TV milik Media Prima menyiarkan berita itu. Ini adalah satu fitnah yang sangat dahsyat. Tohmahan jahat ini dicipta oleh UMNO untuk menimbulkan kebencian orang ramai khususnya rakyat negeri Perak terhadap saya dan Pakatan Rakyat. Mereka mengulas isu ini secara terarah untuk menjauhkan kita dari istana. Mereka mencipta tuduhan ini untuk membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap saya dan Pakatan Rakyat dengan tujuan menenggelamkan perbincangan tentang pencabulan undang-undang yang mereka lakukan demi merampas kuasa.

Saya juga dituduh menggerak dan mengarahkan rakyat supaya bangkit menentang istana. Media yang dikuasai UMNO menggambarkan saya bertanggungjawab ke atas perhimpunan rakyat yang berlaku di merata tempat dalam masa beberapa hari ini termasuk himpunan di Kuala Kangsar yang tercetus kekecohan.

Sehubungan dengan itu, saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap saya. Saya tidak mengeluarkan apa-apa arahan kepada rakyat untuk maksud berhimpun menyatakan bantahan kepada istana. Semua ini adalah propaganda UMNO.

Media elektronik yang dipengaruhi UMNO juga memutarbelit laporan mengenai insiden di pejabat saya iaitu pejabat Menteri Besar pagi tadi. Mereka melaporkan bahawa saya ‘menjerit’ ketika kekecohan semasa kehadiran puluhan wartawan.

Sebenarnya yang menjerit itu bukan saya. Yang menjerit ialah Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri iaitu Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menghalau wartawan supaya keluar dari bilik itu. Wartawan dalam dan luar negeri menjadi saksi tindakan primitif Setiausaha Kerajaan Negeri yang menghalau petugas media di hadapan saya.

Saya tegaskan sekali lagi bahawa bukan saya yang menjerit seperti dilaporkan oleh media elektronik pengampu UMNO. Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. Anda boleh saksikan sendiri video yang sempat dirakamkan oleh salah seorang wartawan ketika insiden itu. Dato’ Dr. Abdul Rahman Hashim yang menjerit.

Sukacita saya menyatakan sekali lagi bahawa saya menyanjung tinggi Institusi Istana sepanjang sepuluh bulan lebih saya memikul amanah ini dan saya telah memberikan kepatuhan saya kepada DYMM Tuanku Sultan dengan sepenuh jiwa dan raga. Dalam perkara yang sedang berlaku ini, saya sebenarnya bermaksud membela dan mempertahankan Institusi Diraja bahkan Institusi Kesultanan Melayu seluruhnya supaya tidak dipandang memihak kepada mana-mana kumpulan dalam isu ini. Saya tidak rela rakyat menganggap Istana menyebelahi mana-mana pihak. Saya ingin menyelamatkan istana daripada tohmahan rakyat. Saya ingin memelihara kepercayaan rakyat kepada institusi ini iaitu institusi yang luhur dan adil.

Pesanan Kepada Seluruh Rakyat Negeri Perak

Saya merayu kepada seluruh rakyat negeri Perak supaya janganlah bertindak diluar batasan. Apa yang kita lakukan adalah usaha menuntut keadilan serta menuntut diberikan hak kepada rakyat untuk membuat pilihan sepertimana yang dijamin oleh perlembagaan.
Terimakasih kepada semua rakyat negeri Perak atas sokongan, pandangan dan ucap selamat yang diberikan kepada saya. Saya sudahi dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamu alaikum warahmatullah.

IR MOHAMAD NIZAR JAMALUDDIN
Menteri Besar Perak

GANJARAN PAHALA SOLAT SUBUH MENGATASI KEINDAHAN DUNIA

RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah SWT dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka." (Hadis riwayat Muslim) Muhammad Abdur Rauf al-Munawi dalam kitabnya at-Ta'arif menegaskan, as-Subhu atau as-Sabah adalah permulaan siang hari, iaitu ketika ufuk berwarna merah jingga di langit tertutup oleh tabir matahari.

Adapun solat Subuh ibadat yang dilaksanakan ketika fajar siddiq dan berakhir pada waktu matahari terbit.Solat Subuh memiliki banyak daya tarikan kerana kedudukannya dalam Islam dan nilainya yang tinggi dalam syariat. Banyak hadis mendorong untuk melaksanakan solat Subuh serta menyanjung mereka yang menjaga dan mengerjakannya.

Rasulullah SAW mengetahui waktu Subuh adalah waktu yang sangat sulit dan payah untuk bangun dari tidur. Seorang Muslim bila dibiarkan begitu saja (tertidur), akan memilih untuk merehatkan dirinya sampai terjaga hingga terbit matahari dan meninggalkan solat Subuh, atau 'Subuh gajah', iaitu dikerjakan solat Subuh tidak pada waktunya yang betul.

Rasulullah SAW mengkhususkan solat subuh dengan beberapa keistimewaan tunggal dan sifat tertentu yang tidak ada pada solat lain. Banyak keutamaan dan kelebihan yang didapati di waktu subuh.
Salah satu keutamaannya adalah Rasulullah SAW mendoakan umatnya yang bergegas dalam melaksanakan solat Subuh, sebagaimana disebutkan dalam hadis: "Ya Allah, berkatilah umatku selama mereka suka bangun subuh (iaitu mengerjakannya) ." (Hadis riwayat Termizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah)Jika Rasulullah SAW yang berdoa, maka tidak ada hijab di antara Baginda dengan Allah SWT kerana Baginda sendiri adalah orang yang secara jasadiyah paling dekat dengan Allah SWT.Waktu Subuh adalah waktu yang paling baik untuk mendapatkan rahmat dan keredaan Allah SWT.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru Tuhannya di pagi dan senja hari dengan mengharap keredaan-Nya, dan janganlah kedua matamu berpaling daripada mereka kerana mengharapkan perhiasan duniawi, dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya sudah Kami lalaikan daripada mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas." (Surah al-Kahfi, ayat 28)

Keutamaan solat Subuh diberikan ganjaran pahala melebihi keindahan dunia dan seisinya, sebagaimana disebutkan dalam hadis riwayat Imam at-Termizi: "Dari Aisyah telah bersabda Rasulullah SAW, dua rakaat solat Fajar pahalanya lebih indah daripada dunia dan seisinya."Begitulah keistimewaan solat Subuh. Apakah yang menghalang kita untuk menyingkap selimut dan mengakhiri tidur untuk melakukan solat Subuh?


Bukankah solat Subuh menjadi bahagian yang begitu besar kemuliaannya dibandingkan dunia dan seisinya?Diriwayatk an Muslim daripada Usman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:"Barang siapa yang solat Isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah melaksanakan solat malam satu malam penuh." (Hadis riwayat Muslim).

Solat Subuh adalah sumber daripada segala cahaya di hari kiamat. Di hari itu, semua sumber cahaya di dunia akan padam. Matahari akan digulung, ibadat yang akan menerangi pelakunya.Diriwayat kan daripada Abu Musa al-Asyaari, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barang siapa yang solat dua waktu yang dingin, maka akan masuk syurga." (Hadis riwayat Bukhari). Dua waktu yang dingin itu adalah solat Subuh dan Asar.Mereka yang menjaga solat Subuh dan Asar dijanjikan kelak di syurga akan melihat Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Kami sedang duduk bersama Rasulullah SAW, ketika melihat bulan purnama. Baginda berkata, "Sungguh kamu akan melihat Rabb (Allah), sebagaimana kamu melihat bulan yang tidak terhalang dalam memandangnya. Apabila kamu mampu, janganlah kamu menyerah dalam melakukan solat sebelum terbit matahari dan solat sebelum terbenam matahari. Maka lakukanlah." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW memberi janji, apabila solat Subuh dikerjakan, maka Allah akan melindungi siapa saja yang mengerjakannya seharian penuh. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Barang siapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah. Maka janganlah cuba-cuba membuat Allah membuktikan janji-Nya. Barang siapa yang membunuh orang yang menunaikan solat Subuh, Allah SWT akan menuntutnya, sehingga Allah SWT akan membenamkan mukanya ke dalam neraka." (Hadis riwayat Muslim, at-Termizi dan Ibn Majah)Semoga kita tetap menjaga dan memelihara solat Subuh seperti dijanjikan Allah. Bergegas bangun tidur apabila terdengar laungan azan berkumandang untuk segera mengerjakan solat Subuh.

PAKAIAN KITA SEBAGAI MUSLIM



Di dalam Islam hak berpakaian bukanlah hak milik bebas kita semua. Sebagai hamba Allah, kita perlu memahami hidup ini sentiasa diikat dengan pelbagai jenis hak antara satu sama lain. Hak terutama dan yang tertinggi ; adalah hak Allah SWT, samada suka atau tidak sesuatu hukum yang 'putus' seperti larangan Zina, Riba, tinggal solat, menutup aurat dan lain-lain adalah tidak boleh betoleransi oleh keadaan dan berubah mengikut peredaran zaman. Sebarang idea dan logik aqal manusia tidak boleh masuk campur dalam hal urusan hukum sebegini untuk mengubahnya menjadi harus dan halal.Tubuh ini adalah pinjaman sahaja dan bukan hak milik kita. Jika hak milik kita, kita boleh mematikannya dan menghidupkannya semula sesuka hati kita. Justeru bagi sesiapa yang punyai iman, hak kebebasannya untuk memilih apa jua jenis pakaiannya adalah tertakluk kepada displin pakaian yang ditentukan oleh Allah dan RasulNya. Berdasarkan hak tersebut, wanita dan lelaki yang masih ada keimanan terhadap Allah dan rasulNya serta hari kematian dan balasannya, mereka tidak boleh melanggar hak Allah ini.

Isu atau masalah pemakaian muslim bukanlah sahaja perlu difokus kepada golongan wanita tetapi begitulah keadaan dan tabiei alam ini. Kerana kesan fitnah itu lebih besar berpunca daripada seseorang wanita berbanding daripada kaum lelaki. Namun tidak mustahil jika sebaliknya yang berlaku. Walau bagaimanapun kedatangan Islam telah mengangkat martabat wanita ke tempat yang adil berbanding agama-agama lain yang menekan golongan ini sehingga meletakkan taraf mereka tidak setanding sebagai seorang insan. Ditanam hidup-hidup, dijadikan korban kepada tuhan, dilacur dan sebagainya. Maka datangnya Islam sebagai rahmat dan satu nikmat yang tidak boleh dijualbeli. Betapa ruginya dan tidak beperikemanusiaan muslim yang mengambil mudah-mudah pada syariat agama dan mempersendakannya.

Masalah aurat dan etika berpakaian ini kita boleh merujuk melalui maksud surah An Nuur ayat 31. Firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah kepada wanita yang beriman "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada: suami mereka, ayah mereka, ayah suami mereka,putera-putera mereka, putera-putera suami mereka, saudara-saudara lelaki mereka, putera-putera saudara lelaki mereka, putera-putera saudara perempuan mereka, wanita-wanita Islam, hamba-hamba yang mereka miliki, pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan terhadap wanita, anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita,Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung".

Mengenai menutup aurat dengan ipar telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW bahawa ipar itu adalah maut. Maksud maut di sini adalah bahaya yang sangat besar yang akan terjadi jika pergaulan di antara mereka tidak diatur sesuai dengan tuntunan Islam. Di dalam satu riwayat daripada Imam Bukhari & Muslim: Asma' Binti Abu Bakar telah menemui Rasululah SAW dengan memakai pakaian yang nipis. Lalu sabda Rasulullah SAW (bermaksud): "Wahai Asma' Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaidh tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah sahaja".



Namun begitu, bukanlah wanita sahaja yang perlu menjaga adab-adab berpakaian dan auratnya, bahkan lelaki juga perlu mengambil berat berkenaan perkara tersebut terutama di hadapan perempuan yang bukan muhram.

Seorang perempuan tua yang telah putus haidh dan tidak berkeinginan untuk berkahwin lagi juga digalakkan menutup auratnya;perkara ini telah disebut dalam firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi, maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu, perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui". (Surah.An-Nur:60)

Menutup aurat, berpakaian sopan, berjilbab bukanlah suatu perkara yang sia-sia. Faedahnya diberi oleh Allah SWT sedari di dunia lagi. Apatah pula ganjaran di akhirat kelak kerana mereka orang-orang yang tunduk patuh pada perintah Tuhannya. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Ahzab ayat 59:"Wahai Nabi,suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaian mereka bagi menutup seluruh tubuh mereka (semasa mereka keluar),cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik);maka dengan itu,mereka tidak diganggu.Dan(ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Melabuhkan pakaian (jilbab) mempunyai pelbagai tafsiran dari kalangan ulama'dalam bentuk pakian. Cukuplah sebagai contoh yang dapat penulis berikan seperti: baju kurung (yang tidak ketat,tidak berbelah,tidak jarang dsb),jubah,tudung labuh ke pinggang,tudung turki (atau yang boleh menutup kepala dan dadanya), ber stokin, purdah dll. Kaum lelaki jua mendapat faedah jika mereka menuruti adab dalam berpakaian; contoh yang boleh saya bawakan, seorang muslim yang berpakaian sopan, berkopiah atau berserban apatah lagi berjubah selalunya disegani oleh masyarakat.Namun, akhlaknya juga perlu dijaga. Sehinggakan jika muslim ini menghadiri ke tempat yang lagho dia akan disegani oleh orang-orang di situ,tersipu-sipu malu untuk melakukan sesuatu kejahatan.Maka benarlah Islam itu merupakan nikmat dan rahmat untuk sekalian alam. Jangan pula kita cuba mengkufurinya.

ISRAEL....Pembunuh!!! Perosak!!! Pemusnah!!!



Kanak-kanak sekolah antara mangsa bedilan

BANDARAYA GAZA: Enam kanak-kanak sekolah Palestin dan seorang anggota polis Hamas tercedera dalam serangan udara Israel di selatan Semenanjung Gaza, kata saksi dan anggota perubatan semalam.

Serangan itu terkena Mohammed al-Sumeiri, anggota polis Hamas, ketika dia sedang menunggang motosikal di bandar Khan Yunis, kata mereka.

Enam kanak-kanak sekolah yang sedang berjalan di situ juga terkena tembakan.

Serangan udara itu adalah kejadian terbaru dalam keganasan yang bertalu-talu di sekitar wilayah Hamas, sekali gus mengancam gencatan senjata 18 Januari lalu, yang menamatkan pertempuran selama 22 hari di wilayah Palestin itu.

Satu lagi laporan menyatakan sebuah pesawat pejuang Israel mengebom satu kawasan di sempadan Semenanjung Gaza yang terkenal dengan terowong penyeludupan di sempadan Mesir, selepas pejuang Palestin melepaskan tembakan roket, kata tentera Israel.

"Satu serangan udara berlaku ke atas kawasan yang digunakan untuk mengeluarkan senjata di bandar Rafah berikutan bedilan roket ke selatan Israel pada sebelah petang," kata jurucakap tentera Israel.

Saksi berkata serangan itu berlaku di timur Rafah, kawasan terowong penyeludu-pan tapi tiada seorang pun cedera dalam serangan berkenaan.

Terdahulu, tentera Israel berkata peluru berpandu dilepaskan dari Semenanjung Gaza ke arah bandar Ofakim, yang jatuh di kawasan tidak berpendudukan.

Serangan roket didakwa dilakukan Briged Jihad Al-Aqsa, cabang puak sederhana Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Tentera Zionis berkata, awal pagi semalam serangan roket kedua dilepaskan ke arah selatan Israel, tapi tidak mengakibatkan kerosakan atau kecederaan.

Kelmarin, pergerakan Hamas yang memerintah berkata, ia melepaskan beberapa bedilan meriam ke arah tentera Israel yang menceroboh ke beberapa kawasan di Semenanjung Gaza.

Israel melakukan pembunuhan besar-besaran dalam sejarah.


Ahli Parlimen Palestin Mohammed Faraj Al-Ghoul daripada kumpulan Hamas mengatakan keganasan Israel terhdapa Gaza baru-baru ini merupakan pembunuhan terbesar dalam sejarah dan beliau menegaskan kerajaan Hamas akan mengajar mereka yang terlibat dan membawa ke muka pengadilan. Beliau berkata demikian semasa menerima lawatan delegasi ahli parlimen Maghribi.

Beliau memuji sikap yang ditunjukkan oleh rakyat Maghribi dalam menunjukkan simpati dan atas bantuan yang diberikan. Para delegasi Maghribi memuji rakan seperjuangan mereka dalam parlimen dan mengatakan akan mengambil beberapa tindakan terhadap Israel kelak.

Sementara itu, Ehud Barak dilaporkan berlepas ke Amerika untuk bertemu dengan para pegawai Amerika untuk membincang mengenai pembelian senjata baru mereka. Akhbar Haaretz melaporkan senjata tersebut termasuklah bom udara yang dilepaskan akan terurai menjadi bom-bom yang lebih kecil untuk memusnahkan periuk api.

Dalam perkembangan yang lain, akhbar Perancis, L’umonde melaporkan perang Israel telah memberi kekuatan dan nama baik kepada kumpulan Hamas. Kerajaan Perancis sedang berusaha menekan Kesatuan Eropah untuk menerima Hamas sebagai parti dipilih oleh rakyat dan melibatkan mereka dalam sebarang perbincangan dan bantuan yang akan membantu mencapai keamanan di Asia Barat.

Israel memusnahkan bangunan, tanaman dan manusia di Gaza.


Delegasi ahli parlimen Switzerland amat terkejut dengan tahap kemusnahan di Gaza dan membuat kesimpulan Israel telah membunuh segala-galanya di Gaza. Tambahan mereka menggesa kerajaan Switzerland yang menjadi penaja konvensyen Geneva untuk memberi bantuan segera dan mendakwa penjenayah perang Israel.

Mereka juga bertegas agar kerajaan Switzerland menghentikan kerjasama ketenteraan dengan Israel melihat kepada tahap kemusnahan yang menunjukkan Israel telah mengebom di sana sini tidak mengenal manusia atau bangunan.

Ini bukan peperangan di antara tentera Israel terhadap pejuang Hamas tetapi terhadap orang awam Palestin yang tidak boleh diterima sama sekali dan pihak komuniti antarabangsa wajib menghukum Israel di atas kekejaman mereka, kata Joseph Zisyadis salah seorang ahli delegasi.

Mereka akhirnya memberi sokongan penuh kepada perjuangan rakyat Palestin dalam membebaskan negara mereka daripada cengkaman Israel dan menggesa agar sekatan ekonomi dikenakan terhadap Gaza dimansuhkan dengan serta merta.

sumber : Info Palestin & Berita Harian

Bahan Tungsten ditambah di dalam fosfurus putih oleh Israel



Khamis, 29/01/2009 - Dr Essam Hijjawi, Ahli Lembaga Jawatankuasa Kesihatan Tebing Barat, telah membongkar fosforus putih yang digunakan Israel telah disatukan dengan Tungsten, iaitu satu unsur kimia atom bernombor 74, kepada orang awam di Semenanjung Gaza.

Dr Hijjawi menambah senjata kimia berjenis tersebut lebih berbahaya daripada yang digunakan oleh tentera Amerika di Iraq, kerana Israel telah menambah bahan bernama Tungsten, kerana jika disedut, ia akan melarut dalam darah dan merosakkan arteri di dalam badan.

Mengenai situasi kesihatan di Gaza, beliau menyatakan hospital-hospital di Gaza teramat uzur dari segi teknikal dan memerlukan sokongan yang serius seluruh dunia.

sumber : info-palestine

Sama-sama kita BERDOA utk saudara-saudara seISLAM kita di Palestin...

1.5 juta rakyat Palestin sedia syahid


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin di Gaza sedia mati syahid dan tidak sekali-kali akan mengangkat bendera putih biar pun diserang secara rakus rejim haram Yahudi.

Mereka bersedia meneruskan jejak sebagaimana dialami al Syahid Sheikh Ahmad Yassin, Rentisi dan Said Siam, bekas menteri luar Hamas yang menjadi korban keganasan Israel.

"Kami bukan lagi menangisi rumah, sekolah, hospital dan harta benda lain yang musnah dibedil tentera Yahudi sebaliknya kemuliaan sekarang untuk menghadapi mati syahid.

"Inilah cita-cita terbaik yang ada pada setiap rakyat ketika darah masih mengalir dan api masih menyala di bumi Palestin sekarang," kata seorang pemimpin Hamas, Najis Suris Al Ghaza.

Beliau mendedahkan perkara itu pada program Solat Hajat Perdana dan Pelancaran Tabung Cakna Palestin di Stadium Sultan Mohammad Ke IV Jumaat y lalu.

Program tersebut dianjur kerajaan negeri, dihadiri lebih 10,000 rakyat Kelantan pelbagai kaum. Mereka senada mengutuk keras keganasan tentera Yahudi ke atas umat Islam di Palestin sekarang.

Najis berkata, umat Islam di Gaza sejak dahulu lagi yakin dengan janji Allah bagi memberi kemenangan kepada Islam dengan syarat umat menolong agamaNya.

Kata beliau pembunuhan ke atas umat Islam di Palestin oleh tentera Yahudi bukan perkara baru, malah ia berlaku sejak 1948 lagi apabila Israel menceroboh bumi Palestin.


Menurutnya rentetan keganasan Yahudi dapat dilihat di Sabra dan Satila pada 1984 apabila ramai umat Islam mati dibunuh dengan kejam.

"Jangan mengharapkan Israel akan berdamai dengan umat Islam kerana ia tidak menjadi matlamat bagi mereka. Malah pemimpin Yahudi akan dianggap wira oleh rakyatnya apabila dapat melancarkan serangan ke atas umat Islam di Palestin.

"Pemimpin yang berjaya mencetuskan peperangan akan dipuji rakyat Israel. Bagaimanapun mereka lupa kekuatan sebenar hanya dimiliki Allah Taala," katanya.

Katanya juga Hamas di bawah Perdana Menteri, Ismail Haniyah akan terus bersama rakyat bagi menghadapi serangan Israel.

Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa berkata, derma yang dikutip malam itu akan digunakan bagi membantu rakyat Palestin sama ada bantuan ubat, makanan atau apa sahaja keperluan lain.

Menurutnya program pelancaran Tabung Cakna Palestin diadakan bagi menggambarkan perkongsian penderitaan rakyat Kelantan tanpa mengira warna kulit dan agama terhadap umat Islam di Palestin.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Fairuz Khairuddin berkata, sudah banyak resolusi yang dibuat di peringkat antarabangsa bagi mengutuk kekejaman Yahudi, namun mereka tidak pernah menghiraukannya.

Oleh itu katanya Malaysia sebagai anggota Persidangan Negara Islam (OIC) perlu melakukan sesuatu termasuk menyerahkan desakan bertulis kepada Setiausaha Agong Bangsa-Bangsa Bersatu bagi membawa Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Beliau juga mendesak resolusi yang diputus pada persidangan khas parlimen Malaysia bagi mengutuk kekejaman Israel baru-baru ini turut dihantar kepada Parlimen Kesatuan Eropah dan lain-lain pertubuhan peringkat antarabangsa.

"Namun berdasar kepada pengalaman lepas sebarang resolusi tidak pernah dihiraukan Yahudi, maka OIC perlu bertindak segera bagi menghantar pasukan pengaman ke Palestin.

"Persoalannya adakah OIC mampu menghantar pengaman seperti yang pernah dilakukan di Bosnia Hergovina sebelum ini," katanya.


Beliau juga berharap rakyat Malaysia kosisten memboikot produk yang ada kaitan dengan Amerika Syarikat dan Israel sebagai mengajar keangkuhan mereka.

Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua berharap Malaysia mengiktirafkan kerajaan Hamas di Palestin kerana parti itu telah memenangi pilihan raya yang diadakan beberapa tahun lalu.

Selain itu beliau meminta kerajaan mengambil langkah tegas termasuk memutuskan kerjasama pertahanan dengan Amerika Syarikat.

Ini kerana kata beliau negara kuasa besar itu berhasrat menguasai sepenuhnya bumi Palestin melalui tindakan kroninya Israel.

Pada akhir program itu pelbagai agensi kerajaan tampil mengisi Tabung Cakna Palestin.

Kerajaan negeri melalui Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Mohd Aiseri Alias menyumbang sebanyak RM500,000.

Lebih RM1 juta berjaya dipunggut malam itu..

Harakahdaily...

Rakyat Palestin sengsara kesan bom fosforus Israel...

KEKEJAMAN tentera rejim Zionis menggunakan bom fosforus, meninggalkan kesan penderitaan berpanjangan kepada rakyat Palestin dengan ramai masih terlantar di hospital akibat pelbagai kecederaan dan penyakit kronik, walaupun sudah lebih seminggu gencatan senjata berkuat kuasa.

Ketibaan pasukan bantuan antarabangsa ke wilayah ini turut membongkar rintihan sebenar rakyat Palestin yang bukan saja kehilangan ahli keluarga, malah terpaksa menanggung penderitaan sepanjang hayat kesan senjata kimia itu.


Di beberapa hospital di bandaraya ini, ribuan penduduk Palestin yang menjadi mangsa serangan bom fosforus kini dirawat kerana kesan melecur pada tubuh dan pelbagai penyakit sampingan lain yang mungkin tidak dapat disembuhkan.

Wartawan Berita Harian yang melawat ke Hospital al-Sifa, di tengah bandaraya ini, semalam sayu melihat seorang daripada ribuan warga Palestin yang mendapat rawatan, bukan hanya melecur seluruh tubuh akibat bom fosforus, malah turut kehilangan empat anak serta suaminya.

Serangan rejim Yahudi menggunakan senjata terlarang itu menyebabkan mangsa, Sabah Abu Halmah, 45, hanya sekadar mampu melihat anak-anak kecilnya meronta kesakitan dan menjerit hiba sebelum tubuh mereka terbakar hingga rentung.

Suri rumah itu berkata, dalam serangan bom fosforus berangkai oleh rejim tentera Yahudi terhadap kediamannya, dia kehilangan semua empat anak termasuk seorang bayi perempuan, Sahid Abu Saad, tiga bulan; Hamzah, 8; Zaid, 10 dan Abdul Rahim, 14.


"Saya tidak lagi mampu menampung kesakitan ini, apatah lagi mengingati semula tragedi itu. Saya kini hilang segala-galanya termasuk suami, Abu Saad Udallah, 45," katanya yang masih trauma dan hanya bercakap selepas dipujuk berulang kali menceritakan detik ngeri dialaminya.

"Masih saya ingat, serangan kejam tentera Israel itu berlaku sekitar jam 3 petang di rumah kami di daerah Beit Lahiya apabila berpuluh bom fosforus putih dijatuhkan oleh pesawat pejuang di seluruh kawasan berhampiran," katanya.

Beliau berkata, mereka sekeluarga yang ketika itu berada di dalam rumah, terperangkap dan tidak sempat berbuat apa-apa apabila bom berkenaan tiba-tiba meledak lalu menyebarkan debu fosforus putih menutupi ruang udara.

"Sebaik terkena bahan kimia itu, kulit tubuh kami terus melecur lalu terbakar. Malah rambut dan kepala kami yang terdedah kepada kimia berkenaan turut dijilat api kesan tindak balas fosforus itu dengan udara.

"Saya tidak tahu apa berlaku kecuali terasa kesakitan yang amat sangat dan pada masa sama mendengar suara jeritan anak-anak mengadu kesakitan sebelum melihat tubuh mereka tiba-tiba terbakar hingga rentung," katanya dengan linangan air mata.

Sabah berkata, ketika itu dia menyangka hidupnya sudah berakhir tetapi entah bagaimana, dirinya terselamat dan dikejarkan ke hospital oleh beberapa jiran, walaupun ketika ini sesekali dia merasakan mungkin lebih baik baginya jika terbunuh bersama seluruh keluarganya.

"Saya sudah kehilangan semua orang yang saya sayangi termasuk anak-anak yang belum mengerti apa-apa. Kini saya perlu meneruskan sisa-sisa hidup menangisi pemergian mereka dan pada masa sama menanggung kesakitan yang tidak tertahan ini," katanya.

Beliau juga menunjukkan kulit kedua-dua tangannya yang melecur teruk hingga menampakkan daging. Serangan itu turut mengakibatkan leher dan tumitnya bernanah teruk selain berlubang kira-kira lima sentimeter.

Seorang lagi mangsa bom fosforus yang dirawat di hospital itu, Saadiah Azam, 53, melecur seluruh muka dan tangan akibat terkena bahan kimia berkenaan dan mengadu ia amat menyakitkan sehingga menyebabkannya sukar tidur dan terpaksa bergantung kepada ubat pelali.

Beliau yang ketika serangan bom itu sedang memasak di dapur rumahnya di Kampung Zaiton, di sini, hanya mampu berlari kesakitan apabila roket yang membawa bahan kimia itu meletup di dalam rumahnya selepas meluncur masuk dari tingkap.

Beliau turut mengalami kesan melecur teruk pada tangan kiri dan doktor yang merawatnya memaklumkan mereka terpaksa memindahkannya ke Hospital Hosni Mubarak, Mesir secepat mungkin untuk mendapatkan rawatan lanjut bagi pelbagai penyakit lain akibat kesan sampingan bom itu.

Sementara itu, salah daripada doktor di wad berkenaan, Dr Hasheem Maamod, 35, berkata, tiada rawatan khusus yang dapat diberikan kepada mangsa serangan bom fosforus berikutan mereka pertama kali berhadapan dengan keadaan sedemikian.

"Kami hanya mampu memberikan rawatan biasa sama seperti kes kebakaran namun ia jelas tidak cukup berikutan kimia fosforus itu seolah-olah hidup di dalam badan mangsa dan memusnahkan tubuh mangsa hari demi hari.

"Saya tidak pasti harapan atau peluang mangsa untuk sembuh tetapi kami akan berusaha sedaya mungkin selain menjalankan kajian kaedah terbaik untuk membantu mengurangkan penderitaan mereka, jika tidak pun untuk selama-lamanya," katanya.


berita Harian....

;;
Related Posts with Thumbnails